Biografi Ainuddin Abdul Wahid

Kehidupan awal

Ainuddin dilahirkan pada 3 November 1929 bersamaan 30 Jamadil Awal 1348H di Teluk Intan, Perak. Ibunya bernama Rahmah binti Mohd. Hassan, pernah bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Melayu Teluk Anson. Bapanya Abdul Wahid bin Badu pula merupakan seorang Guru Besar lepasan Maktab Perguruan Matang, Perak, manakala datuknya adalah bekas seorang guru di Sekolah Melayu Teluk Anson, sekarang Teluk Intan. Datuknya ini pernah menjadi pembantu kepada Sheikh-ul-Islam Negeri Perak yang pertama dan terakhir sehingga bersara.

Datuk sebelah emaknya pula pernah bersekolah dasar di Medan, Sumatera iaitu sebelum ia berhijrah ke Malaysia. Sebenarnya keluarga ibu bapanya berasal daripada keturunan Mandailing di Sumatera. Beliau merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik tetapi dua orang adiknya telah meninggal dunia. Adiknya yang masih hidup juga menceburi bidang pendidikan, iaitu Datuk Profesor Zainal Abidin, merupakan bekas Profesor Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Cik Abrizah adalah seorang pesara yang pernah memegang jawatan Guru Besar di Kuala Lumpur.

Berasaskan latar belakang keluarga yang berpendidikan itu, Tan Sri Ainuddin dan adik-adiknya boleh dianggap lebih beruntung daripada kanak-kanak lain. Asas-asas literasi dan agama telah diberikan dari awal lagi oleh ibu bapa. Apa yang diperolehi daripada ibu bapa dlperkukuhkan oleh datuk dan nenek beliau yang meletakkan asas-asas pendidikan agama secara mengaji dalam kelas-kelas Al-Quran mahupun secara lisan dengan menyebarkan cerita-cerita Nabi.

Tidak banyak yang boleh ditulis tentang proses sosialisasi dan interaksi beliau dengan ibu bapanya kerana kedua-duanya meninggal dunia ketika beliau masih kanak-kanak lagi. Ibunya meninggal pada tahun 1938 ketika beliau mencecah usia sembilan tahun, manakala bapanya meninggal empat tahun kemudian dalam tahun 1942. Oleh yang demikian, maka pengaruh asuhan ibu bapanya berhenti sewaktu beliau masih kecil lagi.

Pendidikan Awal

Beliau mendapat pendidikan awal atau rendah di Sekolah Melayu Laki-Laki Teluk Anson (Teluk Intan), Perak. Semenjak dari kecil di sekolah rendah, beliau sudah mula menunjukkan minat dalam bidang kejuruteraan, walaupun pada ketika itu beliau belum memahami atau mengerti sepenuhnya apakah bidang kejuruteraan. Seterusnya beliau melanjutkan pelajarannya ke peringkat menengah atas di Anglo-Chinese School, Ipoh.[2][3]

Pada tahun 1951, beliau berjaya mendapat biasiswa daripada kerajaan Perak untuk melanjutkan pelajaran ke England dalam jurusan Sains Kejuruteraan. Ainuddin berjaya mendapatkan kelulusan Ijazah Sarjana Muda (B. Sc) dalam bidang Kejuruteraan Awam dari Universiti Bristol pada tahun 1956. Pada tahun 1961 hingga 1962, beliau telah mengikuti kursus khas lepasan ijazah dalam bidang Kejuruteraan Lebuhraya atau Kejuruteraan Jalan Raya dan Lalulintas di Ohio State University, Amerika Syarikat, melalui anugerah Fellowship of The International Road Federation, Washington.[2]

Beliau pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Pelajar Malaya dan Singapura di Bristol pada 1953 hingga 1955, dan merupakan ahli majlis Institut Kejuruteraan Malaysia pada 1975 hingga 1977.[2]

Kerjaya, Sumbangan dan UTM

Ainuddin adalah merupakan anak Melayu yang pertama dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1969.[1][2][4]

Beliau memainkan peranan penting dalam mentranformasi Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) kepada Institut Teknologi Kebangsaan pada 1972 sebelum dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiga tahun kemudian. Beliau merupakan perintis kepada penubuhan dua kampus UTM di Kuala Lumpur dan Skudai, Johor yang sehingga kini telah mengeluarkan seramai 124,000 graduan.[1][4][5]

Jasa dan pengorbanan beliau dalam bidang pendidikan sangat memberi kesan yang positif kepada pembangunan pendidikan negara yang pesat. Antaranya Allahyarham merupakan "individu pertama di Malaysia yang meletakkan lanskap universiti bercirikan Islam" serta memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan moral di peringkat universiti. Tambahan pula, beliau bersama Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohd Rashdan Baba telah memperkenalkan Sistem Prelim iaitu untuk tujuan mengimbangi komposisi antara kaum di Maktab Teknik dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera Melayu.[6][7]

Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan amat besar antaranya, mengubah syarat kemasukan pelajar Melayu ke maktab, iaitu menetapkan mata pelajaran Sains dan Matematik menjadi syarat utama, manakala bahasa Inggeris menjadi syarat kedua berikutan hasil rundingan beliau dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Hasilnya, beliau berjaya membawa masuk seramai 95 peratus pelajar Melayu.

Allahyarham adalah merupakan antara ‘orang penting’ yang mencetuskan idea penubuhan Yayasan Selangor bersama beberapa tokoh-tokoh yang lain seperti Allahyarham Dato’ Seri Harun Idris. Ainuddin juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor yang terawal. Allahyarham, anak kelahiran Teluk Intan, Perak turut dikenali sebagai 'orang kuat' di sebalik penubuhan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).[1][5][8]

Ketika di UTM, beliau pernah bertindak tegas terhadap beberapa pelajar UTM termasuk Ahmad Lutfi Othman.[7]

Biografi beliau ditulis oleh penulis DBP merangkap karyawan tamu UTM, Datin Seri Fatini Yaakob. Beliau merupakan seorang tokoh nasionalis yang menjadi inspirasi buku "Ainuddin Pejuang Degil Melayu" oleh Datin Seri Fatini Yaacob. Buku ini turut dilancarkan pada awal tahun 2011 di Menara Yayasan Selangor Petaling Jaya yang dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.[1][4][9][10]

Rujukan

WikiPedia: Ainuddin Abdul Wahid http://www.astroawani.com/berita-malaysia/tokoh-pe... http://education.bernama.com/m/index.php?lang=&sid... http://www.malaysiandigest.com/news/115572-educati... http://aba5002.blogspot.my/p/sejarah.html http://www.malaycivilization.com.my/atma_tpkh/ainu... http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/... http://ww1.utusan.com.my/utusan/Johor/20131225/wj_... http://www.pmo.gov.my/home.php?menu=speech&page=19... http://www.yayasanselangor.org.my/index.php/berita... http://perdanaschool.utm.my/locations/dewan-tan-sr...